Artikel

MOT : Dasar Tamatkan Hayat Kenderaan Lama, Berpotensi Bebankan Rakyat 

Sebarang pelaksanaan dasar perlulah diteliti akan pelbagai faktor, termasuklah tahap sosioekonomi rakyat – keperluan ini menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) dikaitkan dengan usul dasar menamatkan hayat kenderaan pada arena pengangkutan negara.

Dasar yang dicadangkan dilaksanakan pada 2025 ini – dilihat berpotensi membebankan dan menyukarkan rakyat Malaysia khususnya dalam keperluan kos. Tambahan setiap pendekatan baharu yang membawa perubahan, dilihat perlu dilaksana secara berperingkat. Ini untuk memberi ruang kepada pengguna lalui proses adaptasi.

Maka pertimbangan lain wajar diperkasakan untuk mengimbangi isu sedemikian. Antaranya memberi tumpuan pada manfaat disebalik kenderaan elektrik (EV).

Kemudahan itu tidak sekadar menyokong matlamat infrastruktur EV negara, tetapi turut memacu usaha kelestarian. Buat pengetahuan umum, setakat ini kenderaan motosikal mewakili separuh daripada 30 juta kenderaan di atas jalan raya negara – dan ia menjadi antara penyumbang kepada pelepasan karbon besar di negara.

Oleh itu, MOT pada perkongsian makluman ketika sidang Forum Kelestarian Persekitaran Pengangkutan Serantau Asia Peringkat Tinggi Ke-15 hari ini melihat keperluan mengatasi isu kenderaan ini adalah wajar dimulakan dengan kenderaan motosikal.

Seperti yang umum ketahui, pada Belanjawan 2024 lalu kerajaan telah memaklumkan terdapat perolehan rebat sehingga RM2,400 kepada rakyat yang membeli motosikal elektrik. Dan akses itu tertakluk kepada rakyat yang berpendapatan tahunan RM120,000 ke bawah sahaja. Menerusi langkah manfaat itu, ia berpotensi menjadi langkah awal negara untuk menambah-baik isu pemilikan kenderaan di pasaran.