Impak tekanan kos semasa, disusuli ketidaktentuan faktor luar melibatkan kadar inflasi dan situasi percukaian di Arab Saudi dilihat secara langsung telah menaikkan kos haji buat jemaah – berikutan situasi ini, Lembaga Tabung Haji (TH) menjamin akan meneruskan bantuan kewangan haji bersasar pada tahun hadapan bagi musim haji 1445H/2024M, ke atas golongan jemaah yang paling memerlukan, bagi memudahkan aliran kos ibadah mereka.
Usaha ini pada makluman sesi Parlimen, adalah selari dengan matlamat negara untuk menstrukturkan semula agihan subsidi secara bersasar.
Meskipun bantuan kewangan kekal tersedia, setakat tahun 2022 didapati seramai 67 jemaah B40 dan M40 telah menolak insentif tersebut sebaliknya bertindak membayar kos penuh haji susulan menepati syarat kemampuan mereka dalam melunaskan kos ibadah tersebut.
Manakala 396 jemaah B40, M40 pula telah bertindak mengurangkan kebergantungan mereka ke atas bantuan tersebut dengan melaksana pembayaran tambahan antara RM1,000 sehingga RM12,000 berbanding bayaran haji minima yang ditetapkan. Tindakan ini turut dilaksanakan berlandaskan kemampuan kewangan mereka ketika itu.
Melihat pada pertimbangan itu, ia secara langsung meningkatkan lagi kemudahan dana buat kumpulan jemaah lain dalam menunaikan ibadah haji di bawah sokongan TH.
Selain itu, berlandaskan langkah negara untuk perkenal sistem PADU – yang akan memperincikan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah, bagi memudahkan agihan subsidi lebih bersasar dapat dilaksanakan. TH turut berhasrat mencapai matlamat yang sama pada pangkalan data para jemaah. Aturan itu sekaligus akan membantu TH menambah-baik proses mengklasifikasi kategori bakal haji dan memperkasakan kecekapan agihan bantuan kewangan haji bersasar.
Untuk makluman umum, pada tahun 2023 kos haji ke atas B40 kekal RM10,980, diikuti M40 naik kepada RM15,980 dan T20 pula dengan kos penuh berjumlah RM30,850. Sementara pada tahun 2024 pula dijangka terdapat potensi kenaikan kos sehingga 11%.
Ini disebabkan tekanan kos semasa, kedudukan nilai mata wang dan tindakan Arab Saudi yang melaras naik Cukai Nilai Tambah (VAT) sekitar 5% hingga 6% turut memacu lagi keadaan tersebut. Maka ini secara langsung menjadikan kenaikan kos haji lebih tinggi bakal berlaku.