Artikel

Hasil Negara Dijangka Bertambah RM3 Bilion, Kesan Naikkan Cukai Perkhidmatan 8%

Menerusi langkah melaras naik cukai perkhidmatan kepada 8% dalam beberapa skop ekonomi sepertimana yang diusulkan pada Belanjawan 2024 lalu, dianggarkan aturan itu berpotensi meningkatkan hasil Malaysia pada tahun 2024 dengan pertambahan RM3 bilion.

Angka ini menurut Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican adalah anggaran yang dijangka dapat diraih menerusi pertimbangan Kementerian Kewangan (MOF).

Namun seperti yang dijamin, pelaksanaan tersebut akan diperhalusi dan tidak akan membebani komitmen rakyat. Antaranya tidak akan dikenakan ke atas perkhidmatan seperti makanan, minuman, telekomunikasi dan tempat letak kenderaan.

Seiring dengan pelarasan itu, kerajaan turut menjangkakan akan mengutip sekitar RM35.8 bilion atau 1.8% cukai jualan dan perkhidmatan daripada KDNK negara mulai tahun hadapan. Jangkaan optimis ini adalah susulan tahap penggunaan dan keyakinan pengguna disasar akan terus meningkat pada pasaran ekonomi tahun hadapan.