Artikel

Sejumlah RM66.9 Bilion Pinjaman PTPTN Masih Belum Dilunas – Setakat Mei 2023

Cadangan melaksanakan kaedah pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengikut pendekatan Income Contigent Loan (ICL) iaitu pemotongan gaji secara automatik menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dilihat memiliki potensi yang positif untuk meningkatkan kutipan negara tanpa membebankan kumpulan para peminjam. 

Menurut kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim melalui Timbalan PM Fadhillah Yusof pada sidang Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara, setakat Mei lalu sejumlah RM66.9 bilion jumlah pinjaman masih belum dilunaskan para peminjam. Dan sekiranya jumlah ini dapat diraih semula, ia dijangka berpotensi membiayai sekitar 2.5 juta pelajar baharu. 

Maka keperluan kaedah yang lebih praktikal dan tidak membebankan kumpulan peminjam dilihat wajar dipertimbangkan bagi memastikan kelestarian PTPTN untuk jangka panjang terus terpelihara, berikutan kadar bayaran balik dilihat kekal rendah.

Namun pentadbiran akui, kekangan pasaran semasa disusuli tekanan kos sara hidup telah menyebabkan tanggungjawab ini menjadi lebih sukar buat kumpulan peminjam khususnya mereka yang miliki pendapatan rendah. 

Malah pentadbiran terus menjamin akan mencari penyelesaian mengatasi cabaran dalam menyediakan manfaat pendidikan yang setimpal buat semua pringkat lapisan masyarakat secara berperingkat.

Berbalik kepada usul ICL, untuk makluman ini bukanlah cadangan kali pertama dikemukakan – sebelum ini Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Nasional (NRC) telahpun mengemukakan usul sedemikian bagi pertimbangan lanjut.