Artikel

MOF : Akses Akaun Fleksibel KWSP Sedang Dirangka, Bantu Pencarum Tingkatkan Aliran Tunai

Untuk mengurangkan kebergantungan ke atas pengeluaran bersasar, pengenalan Akaun Fleksibel iaitu Akaun 3 di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dilaksanakan mulai tahun hadapan – dilihat berpotensi membantu para pencarum meraih dana kecemasan pada bila-bila masa.

Akses tersebut menurut Kementerian Kewangan (MOF) kini sedang dimuktamadkan. Usaha ini pada makluman Parlimen – akan diperincikan kelak melibatkan kaedah pendekatannya, jumlah peratusan agihan dalam akaun kepada pencarum. Setakat ini, input sedemikian masih tidak diputuskan. 

Malah MOF turut menjelaskan akses tersebut tidak hanya memudahkan kumpulan kelas B40 dan M40 sahaja untuk tingkatkan kuasa tunai mereka tetapi T20 turut miliki akses yang sama. 

Selain memberi perincian sedemikian, MOF turut optimis jumlah pelaburan KWSP di pasaran domestik bakal melonjak kepada RM700 bilion menjelang akhir 2023 ini. Dijangka peningkatan prestasi 9% berbanding 2022 dapat dicapai KWSP pada tahun ini.

Setakat ini, jumlah keseluruhan pelaburan KWSP untuk pasaran domestik telah merekodkan sekitar RM665 bilion bagi data sehingga Jun 2023.