Artikel

Lebih 8,600 Permohonan Telah Diraih Academy in Industry – Hasilkan Pekerja Mahir Malaysia

Malaysia kini dalam usaha meningkatkan pekerja mahir negara melalui pelbagai inisiatif – antaranya adalah menerusi gagasan Academy in Industry (Ail) yang bertindak memacu penyertaan golongan belia dalam sektor ekonomi mengikut kemahiran berlandaskan keperluan pasaran semasa dan industri. 

Pendekatan di bawah seliaan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) ini menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada sesi Parlimen mendapati – kini sebanyak 8,621 pemohonan daripada pelbagai latarbelakang demografik telah diraih Ail. Menerusi aturan itu, difahamkan sejumlah 209 syarikat bakal ditauliahkan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK-KSM) bersama sijil Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) bagi membolehkan kelayakan melatih bakat tempatan dilaksanakan. 

Setakat ini, difahamkan, seramai 1,870 peserta telah berjaya dipadankan kepada 47 buah syarikat yang telahpun miliki tauliah Ail-SLDN. 

Buat pengetahuan umum, menerusi Ail anak-anak muda seawal 18 tahun boleh mula bekerja dan mempunyai prospek kerjaya teknikal kerana mereka akan mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) selepas 9 hingga 18 bulan bekerja, berbanding pendekatan sedia ada. Pelaksanaan program AiI ini akan memberi impak yang besar kepada ekonomi negara kerana ia dapat mengatasi masalah struktur ekonomi negara dan berupaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada lepasan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). 

Usaha ini sekaligus membantu Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada tenaga asing dalam sektor ekonomi serta mengatasi jurang ketidakpadanan kemahiran dalam industri berproduktiviti tinggi di pasaran.