Pertumbuhan ekonomi Malaysia diperhatikan berupaya kembali meningkat pada suku ketiga 2023 ini apabila anggaran awalan paras Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kini berkembang mencapai 3.3%. Ini lebih melonjak berbanding peningkatan sederhana 2.9% yang direkodkan pada suku kedua lalu.
Anggaran KDNK awalan merujuk kepada data dua bulan pertama dalam sesebuah data sukuan (3 bulan). Anggaran ini boleh dijadikan petunjuk awal pertumbuhan KDNK negara pada tempoh suku tahun tersebut.
Menurut pengamatan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) prestasi ini dipacu hasil permintaan yang baik dalam sektor perkhidmatan dengan peningkatan 5.1%, sementara sektor pertanian mulai menunjukkan pemulihan dengan peningkatan 0.8% disumbang pengeluaran yang positif pada subsektor kelapa sawit.
Namun perlu diakui, perkembangan ekonomi Malaysia ini masih ditahap sederhana berikutan sektor perlombongan dan pengkuarian, serta pembuatan alami sedikit penurunan pada suku ini.