Artikel

KOCEK Kini Bolehkan Pengguna Tukar Syiling Di Pos Malaysia 

Orang awam tidak lagi perlu khuatir sekiranya ingin menukar syiling mereka – apabila kini tindakan tersebut boleh dilaksanakan di pejabat Pos Malaysia bersama kemudahan Perkhidmatan Pertukaran Syiling KOCEK.

Ketersediaan akses melibatkan kerjasama Pertama Digital dan Pos Malaysia ini untuk peringkat awal – akan membenarkan pengguna nikmati kemudahan tersebut dibeberapa cawangan pos, antaranya di :

  • Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur
  • Pejabat Pos Besar Shah Alam
  • Pejabat Pos Kajang 2020
  • Pejabat Pos Bandar Baru Bangi

Sementara itu, khidmat ini turut akan diperluaskan di sekitar 30 cawangan Pos Malaysia yang lain menjelang akhir 2023 kelak.

Buat pengetahuan umum, kebersamaan ini sekaligus akan memanfaatkan KOCEK dalam meluaskan lagi jejak perkhidmatan mereka susulan setiap bulan Pos Malaysia menganggarkan sekitar 1.5 juta pengguna akan hadir di 632 lokasi cawangan. Langkah ini secara terus menggalakkan lagi orang awam untuk menukarkan syiling mereka dan memasukkan ia pada akaun bank pengguna.

Tidak hanya itu, aturan ini akan membantu Bank Negara Malaysia (BNM) akan pengurangan keperluan untuk mencetak dan mengedarkan syiling baharu. Ia akan membantu menurunkan kos pengeluaran mata wang bagi bank pusat.

Selain Lembah Klang, khidmat KOCEK turut akan diperluas secara berperingkat pada lokasi di negeri lain menjelang tahun 2024 kelak. Di mana pihaknya menyasarkan memiiliki cawangan ke-100 menjelang tahun hadapan.

Untuk makluman, KOCEK sebelum ini dikenali sebagai MyPay Coin Conversion dan ia telahpun dibangunkan Pertama Digital sebagai langkah memacu pengedaran semula duit syiling yang tidak digunakan di pasaran.

Menerusi pembaharuan khidmat KOCEK – ini akan membantu BNM merancakkan semula aktiviti penukaran duit syiling kalangan pengguna. Ini kerana setiap tahun didapati sehingga 30% atau 240 juta keping syiling yang dikeluarkan telah menjadi syiling yang tidak digunakan dan disimpan di rumah, balang serta simpanan peribadi pengguna.