Isu kesuburan sememangnya cukup dekat dengan segmen ekonomi, sosial sesebuah negara. Mengikut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tahap Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) di negara pada tahun 2022 menunjukkan berlakunya penurunan – dengan 1.6 anak bagi setiap perempuan yang berusia 15 tahun-49 tahun.
TFR ialah indikator demografi yang digunakan untuk menganggarkan purata bilangan anak yang perlu dilahirkan oleh seorang perempuan selama tempoh reproduktifnya (15 tahun-49 tahun).
Kadar kesuburan ini sekaligus menjadikan ia rekod kesuburan yang terendah sejak 5 dekad lalu dengan 4.9 anak bagi setiap perempuan pada tahun 1970.
Buat pengetahuan umum, sejak 1970 hingga 2012 lagi TFR telah direkodkan di atas paras penggantian iaitu 2.1 anak akan tetapi kadar kesuburan itu telah mula menurun bermula tahun 2013 sehingga kini.

Situasi ini secara langsung berpotensi mengakibatkan berlakunya krisis demografi seperti penyusutan pertumbuhan penduduk, penuaan penduduk dan kesan demografi ke atas segmen ekonomi dan sosial di Malaysia.
Melihat pada penurunan itu, didapati bagi tempoh 2011 sehingga 2022 – kadar kesuburan kalangan Melayu paling tertinggi dengan 2.1 anak bagi setiap perempuan berusia 15-49 tahun, diikuti etinik Cina menjadi kadar kesuburan terendah dengan 0.8 anak bagi setiap perempuan dalam tempoh yang sama.
Sementara mengikut kategori negeri pula terdapat 3 negeri masih mengekalkan status kadar kesuburan yang rendah sepertimana pada tahun 2021. Ia melibatkan Kuala Lumpur (1.2 anak), Pulau Pinang (1.2 anak) dan Sabah (1.4 anak). Manakala negeri Pantai Timur pula menjadi antara kumpulan yang miliki kadar kesuburan tertinggi lepasi paras TFR dengan Terengganu (2.9 anak), Kelantan (2.7 anak) dan Pahang (2.1 anak).

Buat pengetahuan umum, situasi kesuburan ini tidak sekadar menghimpit Malaysia sahaja, tetapi beberapa negara lain turut depani isu kesuburan yang sama apabila Jepun (1.3 anak), China (1.2 anak), Korea Selatan (0.8 anak) dan Vietnam (1.9 anak).