Di Malaysia ketika ini, hanya 60% tenaga buruh sahaja didapati dilindungi di bawah skim persaraan formal iaitu Skim KWSP buat pekerja swasta dan Skim Pencen Perkhidmatan Awam pula buat penjawat awam. Menyedari kekangan itu, KWSP kelak bertindak perluaskan tahap simpanan pencarum pada platform i-Sayang, dengan membenarkan kumpulan isteri pula mencarum 2% kepada suami mereka.
Tindakan ini telahpun diumumkan pada Belanjawan 2024 minggu lalu, di mana perluasan ciri itu akan dilaksanakan mulai tahun 2024.
Setakat ini menurut KWSP, sejak ia dilancarkan pada Mac 2023 lalu didapati sekitar 34,000 suami telahpun menyertai program i-Sayang – yang membolehkan suami peruntukan 2% daripada caruman bulanan syer pekerja mereka secara sukarela kepada akaun KWSP isteri mereka.
Berdasarkan tindakan itu, difahamkan jumlah simpanan telah merekodkan sebanyak RM14.7 juta. Maka dengan adanya perluasan ini, ia akan merancakkan lagi simpanan kumpulan pencarum suami pula di masa hadapan.
Tenaga buruh merujuk kepada semua penduduk di dalam Malaysia yang berumur lingkungan 15 hingga 64 tahun dan mereka berada dalam keadaan bekerja atau menganggur.
Manakala Guna Tenaga pula merujuk kepada mereka yang melakukan sebarang pekerjaan untuk mendapatkan bayaran, keuntungan atau keuntungan keluarga (sebagai majikan, pekerja, pekerja sendiri atau pekerja keluarga tanpa gaji).