Artikel

CAAM : Tiada Masalah Kewangan Ditemui Ketika Audit MYAirline

Sepertimana yang diumumkan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) hari ini, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah mengesahkan – pihaknya kini menggantung Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) MYAirline di bawah peraturan 193(3) selama 90 hari

Aturan itu adalah tindak-balas pihak berkuasa untuk laksana siasatan lanjut berhubung isu yang didepani operasi MYAirline. Tindakan itu akan didasari berasaskan teknikal pengoperasian, piawaian keselamatan serta sekuriti. 

Berdasarkan makluman lanjut, langkah audit yang dijalankan CAAM pada 29 Mei sehingga 1 Jun 2023 lalu – didapati tiada sebarang penemuan masalah kewangan dihadapi oleh MYAirline. Maka percanggahan yang didapati ketika ini, akan diselidiki dengan lebih terperinci.

Menurut CAAM, pemegang AOC perlu menyediakan bukti kemampuan kewangan mereka untuk melanjutkan sijil operasi tersebut. Tindakan itu memperlihatkan potensi pengendali udara bersama sumber kewangan yang kukuh. 

Maka sekiranya terdapat masalah kewangan, pemberitahuan bertulis wajar diberikan segera kepada pihak CAAM untuk memastikan keselamatan operasi terjamin. Bagaimanapun, sehingga kini – CAAM memaklumkan MYAirline tidak menghantar sebarang notis pemberitahuan berhubung permasalahan tersebut.