Untuk terus perkasakan arena pendidikan teknikal dan latihan vokasional negara (TVET) – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini meletakkan sasaran bagi meningkatkan peratusan gaji kumpulan graduan ini ke arah premium – iaitu mencapai RM4,o00 sebulan.
Setakat ini, berdasarkan matlamat itu – hasil daripada 71,825 graduan TVET di Universiti Awam (UA) di bawah kelola KPT menunjukkan sekitar 10% graduan UA telahpun mencapai paras gaji RM4,000 ke atas diikuti RM2,500 ke atas pula dengan 38%.
Tidak hanya itu, daripada 139,579 graduan TVET di Politeknik pula didapati 0.9% telah meraih paras gaji RM4,000, sementara bergaji RM2,500 ke atas pula sekitar 6.1%.
Menerusi pemerkasaan ini, KPT pada sidang Dewan Rakyat memaklumkan – usaha akan diteruskan melalui kebersamaan dengan pemain industri. Bagi memastikan keperluan tenaga TVET semasa setimpal dengan pasaran pekerjaan negara di masa hadapan.
Untuk tindakan itu, kelak KPT akan membangunkan sebuah badan bersama pemain industri bagi meningkatkan peluang pasaran kerja buat graduan TVET dan membantu institusi negara menambah-baik penawaran bidang di peringkat pendidikan.
Buat masa ini, sejumlah 18,000 pemain industri telahpun laksana kolaborasi bersama KPT dalam memacu keperluan tenaga negara secara berkala.