Setelah melaksanakan kejutan, dengan menangguhkan operasi penerbangannya pada 12 Oktober lalu – kini dimaklumkan lesen MYAirline akan digantung buat sementara waktu, bagi memberi ruang untuk operasi memulihkan semula isu kewangan yang didepani.
Buat pengetahuan umum, untuk terus beroperasi syarikat penerbangan perlukan 2 lesen selaku pengendali udara komersial iaitu lesen perkhidmatan udara (ASL) dan sijil pengendali udara (AOC).
Bagaimanapun tidak diperincikan penggantungan lesen apakah yang akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
Untuk lanjutan tersebut, dijangka Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan tampil dengan kenyataan rasmi hari ini selepas sidang media MYAirline dilaksanakan.
Kesan daripada isu ini, didapati sekitar 125,000 pengguna telah terjejas dan alami kerugian lebih RM20 juta berikutan pembelian tiket penerbangan bersama MYAirline. Tidak hanya itu, kesan penangguhan juga dijangka turut akan menjejaskan petugas mereka.
Berdasarkan situasi itu, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memberi jaminan lebih 500 petugas MYAirline berupaya meraih manfaat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sekiranya operasi mereka ditamatkan.
Selain akses itu, para petugas yang berkelayakan turut boleh meraih Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) sebagai dana sokongan membantu kumpulan ini meraih peluang di pasaran pekerjaan. Jaminan itu menurut Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan dilaksana sebagai gantian pendapatan untuk tempoh selama 3-6 bulan sehingga para petugas mendapat pekerjaan baharu.
Bagaimanapun setakat ini tiada kenyataan rasmi akan status kedudukan operasi MYAirline. Dimaklumkan pihak PERKESO akan kekal memantau aturan MYAirline bagi memastikan kebajikan pekerja mereka terus terpelihara – susulan kesan penangguhan operasi mengejut yang dilaksana pada 12 Oktober lalu.