Tatkala jumlah penganggur semakin berkurangan kepada 577,300 individu (3.4%), diperhatikan bilangan tenaga kerja dalam sektor bukan formal terus meningkat apabila direkodkan lebih 2.97 juta penduduk Malaysia lebih selesa bekerja sendiri.
Data di bawah Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi Ogos ini menunjukkan bilangan itu telah meningkat lebih tinggi berbanding 2.95 juta pekerja yang direkodkan pada Julai 2023 lalu.
Berdasarkan pertumbuhan itu, menurut nota Maybank Investment Bank (Maybank IB) persekitaran pekerjaan tidak formal ini telah meningkat 7.1% mengatasi pertumbuhan keseluruhan tenaga kerja di pasaran Malaysia yang hanya meningkat 2.5% – selama 8 bulan sepanjang 2023.
Meskipun pertumbuhan ini tidak diperincikan faktor perkembangannya namun peningkatan jumlah pekerja sendiri ini secara langsung memperlihatkan arena penawaran kerja dalam sektor ekonomi tidak sejajar dengan permintaan semasa. Ini menjelaskan lebih ramai pihak mula meneroka potensi ekonomi berdasarkan peluang kemahiran individual.
Buat pengetahuan umum, segmen ekonomi bekerja sendiri yang dikategori sebagai ‘own account workers’ dilihat terus meningkat dengan penglibatan penduduk Malaysia selaku peniaga kecil, penjaja, pekerja ekonomi gig, pekebun kecil dan pengendali gerai makanan. Sebelum ini, setakat 2020 jumlah kategori pekerjaan adalah sekitar 2.81 juta sahaja.
Secara menyeluruh selain kategori tersebut, ini pecahan status pekerjaan penduduk Malaysia setakat Ogos 2023:
- Pekerja (bekerja di bawah sesebuah organisasi) – 12.32 juta individu
- Pekerja bekerja sendiri – 2.97 juta individu
- Pekerja keluarga tanpa gaji – 491,700 individu
- Majikan – 571,900 individu
