Artikel

Harga Gula Dunia Kini Melonjak – Cecah Paras Tertinggi Sejak 2010

September lalu menunjukkan harga gula dunia telah melonjak, mencapai paras tertinggi sejak 13 tahun lalu iaitu pada November 2010. Keadaan ini berlaku akibat fenomena El Nino yang tercetus di negara pengeluar, antaranya di India dan Thailand. 

Situasi ini mengikut pemantauan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) di bawah PBB – indeks harga gula telah meningkat sebanyak 9.8% pada September meskipun harga makanan dunia secara keseluruhan memaparkan paras stabil pada tempoh yang sama. 

Malah kenaikan itu tidak hanya berlaku pada September tetapi didapati kekal konsisten selama dua bulan secara berturutan. Persekitaran ini sekaligus berupaya mewujudkan sentimen akan ketidaktentuan pada prospek bekalan global mendatang.

Selain kesan cuaca yang menjejaskan pengeluaran kepada negara pengeluar – aliran harga minyak mentah antarabangsa yang lebih tinggi ketika ini turut diperhatikan menjadi faktor berlakunya kenaikan harga gula sedunia.

El Nino atau disebut sebagai El Nino-Southern Oscillation (ENSO) adalah fenomena cuaca panas kering yang berlaku kesan pemanasan perairan meliputi Lautan Pasifik tengah dan timur. Kemasukan arus panas dari bahagian tengah telah membawa kesan kepada perubahan suhu permukaan laut lebih tinggi di bahagian timur. Ia secara langsung mendorong bahagian barat Pasifik meliputi Malaysia berdepan tekanan tinggi atmosfera mengakibatkan berlakunya cuaca lebih kering. Difahamkan fenomena ini berlaku pada setiap 2 tahun-7 tahun dan ia akan berpanjangan antara tempoh 6 bulan sehingga 18 bulan.