Artikel

Mulai Minggu Ini – Agenda Belanjawan 2024 Jadi Tumpuan Utama Sidang Parlimen

Bermula hari ini, sidang Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen Ke-15 akan dilaksanakan sehingga 30 November. Menerusi pembukaan tirai tersebut, tempoh ini akan memperlihatkan agenda Belanjawan 2024 jadi tumpuan utama pada pembentangan 13 Oktober kelak.

Meskipun tidak memberi sebarang gambaran penuh, antara sektor yang dijangka kekal mendapat peruntukan tinggi pada bajet kali ini adalah melibatkan kesihatan dan pendidikan. Aturan peruntukan tinggi itu menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan (MOF) akan kekal diberi tumpuan kepada kedua sektor tersebut.

Selain penekanan hala tuju bajet negara, beberapa aturan turut akan diberi perhatian pada sidang kali ini – melibatkan bacaan kali kedua Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 diikuti pembentangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung laporan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) serta pembentangan RUU Kesatuan Sekerja (pindaan), RUU LHDN dan RUU Kewangan Awam & Tanggungjawab Fiskal 2023.

Persidangan juga difahamkan turut akan melampirkan status pembangunan beberapa inisiatif ekonomi negara melibatkan rangkaian 5G, kenaikan kos sara hidup, komoditi serta lanjutan Ekonomi Madani.