Seperti yang dirancang sejak akhir 2021, Boost kini menampilkan Kad Prabayar Mastercard – Beyond Card kepada pengguna bersama kesepakatan dengan CelcomDigi. Lebih menarik, kemudahan akses pembayaran ini turut menawarkan sokongan BNPL, Bayar Nanti Pakai Lekas kepada pengguna.
Melalui akses ini, pengguna boleh laksana pembayaran kad prabayar dengan baki yang tersedia pada Boost Wallet, diikuti gunakan kredit di bawah Boost PayFlex. Ciri baharu ini sekaligus membenarkan pengguna memanfaatkan kad prabayar tanpa perlu menambah-nilai dan boleh melunaskan tunggakan tersebut pada tempoh yang lain, antaranya melalui ansuran sehingga 3 bulan.
Secara menyeluruh kad prabayar ini dimaklumkan tersedia bersama lebih 100 juta peniaga Mastercard di seluruh dunia termasuklah kedai runcit biasa dengan kemudahan sokongan BNPL. Bagaimanapun, pengguna diingatkan bahawa tahap perbelanjaan adalah berbeza untuk setiap individu. Ini didasari berdasarkan kelayakan perbelanjaan pengguna dan aliran transaksi kewangan.
Untuk peringkat awal difahamkan permohonan kad adalah terhad, dan boleh dilaksanakan mulai 9 Oktober kelak. Di mana pengguna Celcom boleh laksana permohonan lebih awal melalui aplikasi Boost dan seterusnya baru diperluas kepada pengguna Digi dalam masa terdekat.
Akan tetapi Boost mengingatkan pengguna terpilih perlu memiliki aplikasi Boost dan mencipta akaun Premium Wallet untuk membolehkan mereka laksana permohonan Beyond Card. Maka sebarang maklumat lanjut, semua pengguna boleh merujuk pada pautan Beyond Card – Boost x CelcomDigi ini untuk fahami perincian seterusnya dan memohon kad prabayar anda!