Tahun ini, dijangka peruntukan subsidi yang ditanggung negara adalah mencecah RM81 bilion. Ini meliputi peruntukan elektrik, minyak serta makanan.
Data yang dikongsikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sidang Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam Sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2023 – ini jelas menunjukkan ia adalah jumlah yang tinggi yang perlu di penuhi negara tatkala berdepan tekanan kos semasa.
Meskipun begitu usaha untuk melandaikan angka tersebut wajar dilaksanakan khususnya melibatkan penyaluran subsidi kepada kumpulan pendapatan tinggi.
Antara usaha yang telah dilaksanakan negara adalah membatalkan subsidi ke atas 1% golongan terkaya dalam subsidi elektrik. Selain itu PM Anwar turut meminta pihak Lembaga Haji mengkaji semula pemberian subsidi kepada kumpulan pendapatan tinggi dengan mengutamakan dana tersebut kepada kumpulan yang lebih memerlukan.
Langkah sebegini dilihat secara langsung mengekalkan komitmen negara memelihara kebajikan rakyat Malaysia secara bersasar. Melihat pada aturan ini, dijangka lebih banyak aturan baharu akan dibentangkan pada sesi Belanjawan 2024 kelak.