Menjelang pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober kelak, pelbagai perubahan dijangka berpotensi berlaku pada agihan peruntukan negara. Ini disusuli hasrat pentadbiran untuk melaksanakan PADU – Pangkalan Data Utama yang bertujuan akan merealisasikan objektif pelan subsidi bersasar negara.
Langkah itu, secara langsung menjangkakan jumlah peruntukan pada program bantuan tunai kerajaan bakal alami pengurangan sebanyak RM1 bilion.
Pengamatan ini menurut penganalisa TA Securities, tidak sekadar didasari oleh pelaksanaan PADU tetapi turut merangkumi usaha negara yang ingin memastikan agihan tunai hanya tertakluk kepada golongan isi rumah yang benar-benar layak sahaja. Ini tidak sekadar melibatkan kelas pendapatan tetapi turut melibatkan jumlah tanggungan, lokaliti serta komitmen bulanan penduduk negara.
Malah, turut diperjelaskan tindakan pengurangan subsidi ini bukanlah pertama kali dilaksanakan. Untuk tahun 2023, peruntukan subsidi telahpun alami pengurangan sebanyak 13.1% kepada RM58.6 bilion. Namun perlu diakui meskipun jumlah ini telah berkurangan berbanding peruntukan subsidi 2022 sebanyak RM67.4 bilion – tetapi paras peruntukan itu kekal tinggi berbanding peruntukan sebelum pra pandemik COVID-19.
Maka sekiranya pertumbuhan negara kekal positif ditambah pelbagai sokongan dasar kewangan baharu – ini memungkinkan jumlah peruntukan subsidi negara akan terus dikecilkan, diutamakan buat kumpulan yang benar-benar layak sahaja.