Artikel

Isu Beras : Malaysia Saran Pembekal Beras ASEAN Utamakan Negara Anggota

Pada sidang Mesyuarat Menteri ASEAN berkaitan Pertanian dan Perhutanan (AMAF) kali ke-45, Malaysia memaklumkan akan mengemukakan saranan untuk negara pembekal beras utama ASEAN bagi mengutamakan negara anggota dalam aliran pembekalan beras.

Tindakan eksport makanan ruji itu dilihat penting buat negara anggota khususnya melibatkan pembekal utama seperti Thailand dan Vietnam. Setakat ini, negara ASEAN berdepan dengan pelbagai cabaran risiko persekitaran – ia meliputi kesan perubahan cuaca, penangkapan ikan berlebihan, amalan pertanian yang kurang lestani bersama isu pembuangan sisa makanan.

Maka untuk menjamin pembekalan tersebut – kapasiti beras wajar dipelihara dengan sebaik mungkin susulan ini menjadi makanan ruji penduduk ASEAN. Buat masa ini, kapasiti bekalan beras di negara kekal terpelihara melalui pemerkasaan Ops Bersepadu Beras Putih Tempatan (BPT) yang melaksanakan pemeriksaan di setiap peringkat rantaian.