Artikel

MITI : Pelaburan EV Cecah RM26.2 Bilion, Sasar Pemilikan Diakses Semua Kelas Pendapatan

Sehingga kini pelaburan dalam industri kenderaan elektrik (EV) telah mencapai paras yang membrangsangkan apabila sebanyak RM26.2 bilion telah direkodkan dalam tempoh 2018 sehingga Mac 2023 di Malaysia.

Data Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ini secara langsung memperlihatkan aliran penjualan unit EV di negara turut meningkat kepada lebih 3,400 unit pada 2022 dan melebihi 7,500 unit setakat September 2023 lalu. Melihat pada dinamik ini, kerajaan optimis untuk merealisasikan potensi EV mampu dimiliki oleh semua peringkat pendapatan.

Bagaimanapun untuk mencapai matlamat itu, selain menerusi subsidi bersasar dan sokongan kewangan kepada pengguna – dasar EV menurut MITI perlulah beriringan dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Baharu 2030 yang baru sahaja dilaksanakan dan pasaran perlu mengukuhkan lagi infrastruktur berkaitan pengecasan EV di seluruh negara.

Berdasarkan matlamat awal, Malaysia sasar 15% pengguna EV di leburaya menjelang 2030 kelak dan 38% menjelang 2040 kelak.