Artikel

19 Negara Kini Membataskan Eksport – Kesan Harga Bekalan Import Naik

Memahami semua pihak gusar akan kenaikan harga yang berlaku pada pasaran ketika ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menjelaskan situasi tersebut adalah hasil cerminan apabila sebanyak 19 buah negara telah bertindak membataskan aliran eksport ke negara luar – bagi tujuan mengutamakan bekalan kepada rakyat negara mereka

Maka persekitaran itu, secara langsung menjejaskan aliran harga pada kemasukan bekalan import ke Malaysia. Antaranya adalah India yang telah mengenakan sekatan eksport beras sejak Julai 2023 lagi. 

Situasi ini telah memberi kesan kepada kenaikan harga beras putih global termasuklah di pasaran Malaysia. Susulan itu negara kini telah bersetuju mengatur 4 langkah intervensi iaitu perkasakan edaran Beras Putih Tempatan (BPT) melalui FAMA di kawasan pinggir bandar dan luar bandar.

Seterusnya untuk pasaran Sabah dan Sarawak pula kerajaan turut memutuskan untuk menyerap kos Beras Putih Import (BPI) mulai 5 Oktober 2023 kelak bagi membolehkan harga runcit RM31 bagi setiap 10kg diraih pengguna tempatan. Tindakan ini akan memperlihatkan subsidi sebanyak RM950 per metrik tan BPI dilaksanakan, berikutan pengeluaran BPT di kedua negeri ini adalah terhad. 

Selain itu, kerajaan turut bertindak perluaskan terma kontrak pembekalan beras menggunakan BPI – di mana semua pembekal akan gunakan BPI dengan mendapatkan bekalan pada harga borong RM3,200 (bagi harga pintu gudang) dalam kampit 50kg tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan. Langkah ini secara langsung beri keutamaan pembekalan BPT kepad rakyat negara. 

Akhir sekali pentadbiran akan perkasakan lagi sistem pemeriksaan dan penguatkuasaan di peringkat rantaian pembekalan BPT. Usaha ini akan melibatkan pihak berkuasa sepeti Kawalselia Padi dan Beras (KPB), KPDN, PDRM, Jabatan Kastam dan MAQIS. Sebagai penjelasan, aturan ini akan meliputi pemeriksaan di semua kilang beras, stor pemborong mulai 3 Oktober 2023. Di mana sampel beras akan diambil di semua kilang dan gudang pemborong untuk analisa lanjut.

Berdasarkan percaturan itu KPKM menyasarkan ia akan membantu negara menyelaraskan dan menyeimbangkan keperluan semasa negara secara berperingkat.