Artikel

Belanjawan 2024 : Airbnb Saran Galakkan Golongan Muda Sertai Aktiviti Sewaan Jangka Pendek

Berbekalkan prestasi yang baik dalam sektor pelancongan negara, di mana menyumbang lebih RM5 bilion kepada KDNK Malaysia dengan menyokong hampir 57,000 pekerjaan dalam sektor pada tahun 2022 – Airbnb, platform penawaran rumah persinggahan atau inap desa kini menyeru golongan muda untuk merancakkan lagi aktiviti menyewa jangka pendek.

Ini antara usul yang diketengahkan Airbnb pada cadangan Belanjawan 2024 kelak. Platform melihat pemacuan kerajaan mampu memperkasakan golongan muda di Malaysia untuk memanfaatkan aktiviti penginapan sewaan jangka pendek (STRA) sebagai penjana pendapatan tambahan dan menawarkan inisiatif khusus menerusi kerjasama dengan institusi-institusi kewangan yang berkenaan.

Inisiatif ini boleh menawarkan skim pembiayaan berfaedah rendah bagi menyokong golongan muda dalam membeli hartanah pertama mereka.

Selain usul tersebut, Airbnb turut ingin kerajaan perluaskan insentif ke atas semua hos STRA, tidak hanya mengutamakan penggiat pelancongan tradisional sahaja. Melalui perluasan itu ia dilihat berupaya menyeimbangkan persaingan inap desa antara hos tanpa melibatkan kelas mereka. Usul ini meliputi hos samada individu mahupun kumpulan PKS.

Selanjutnya, bagi memacu lagi arena inap desa ini – seharusnya potensi aliran ekonomi perkongsian ini diktiraf dalam sektor perhotelan. Seiring dengan usaha itu, ia akan membantu Airbnb dan pemain inap desa yang lain meraih sokongan yang sama dalam memulihkan sektor perlancongan negara. Keperluan ini wajar susulan sekitar 60% rakyat Malaysia mengikut tinjauan Clearpath Strategies mengakui akan gunakan Airbnb sebagai pilihan penginapan dalam tempoh 12 bulan mendatang.

Maka adanya pertimbangan dalam setiap usul yang diutarakan, dilihat berpotensi membantu sektor ekonomi perkongsian ini lebih keterdepan di pasaran tahun 2024.