Artikel

Purata Gaji Rakyat Malaysia Naik 5.8% Kepada RM3,212 Sebulan Bagi 2022 – DOSM

Sepanjang tahun 2022, didapati gaji dan upah bulanan rakyat Malaysia secara puratanya telah naik sebanyak 5.8% kepada RM3,212. Angka ini lebih tinggi berbanding tahun 2021 dengan purata gaji bulanan sekitar RM3,037. 

Peningkatan ini menurut data Survei Gaji dan Upah 2022, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mencerminkan berlakunya potensi pendapatan yang lebih baik untuk sebahagian besar tenaga kerja. 

Apa yang menarik, pada perincian data itu turut didapati kenaikan gaji penengah antara jantina telah berlaku. Di mana pekerja lelaki meraih purata gaji RM3,262, meningkat berbanding RM3,085 (2021) dan purata gaji pekerja wanita pula RM3,140. Secara perbandingan, pekerja lelaki terus meraih purata gaji yang lebih tinggi.

Manakala pada kategori purata gaji mengikut tahap pendidikan pula, direkodkan tahun 2022 – tahap pendidikan Tertiari (RM4,454), Menengah (RM2,301), Rendah (RM1,642) dan Tiada Pendidikan Rasmi (RM1,522). Bagi kategori mengikut kemahiran pekerjaan pula – di tahap Mahir dengan RM5,025, Separuh Mahir (RM2,241) dan Berkemahiran Rendah (RM1,815).

Sementara negeri pula, Putrajaya terus mengungguli paras purata gaji yang tinggi dengan RM4,666, diikuti KL (RM4,207), Selangor (RM3,737), Labuan (RM3,418) dan Pulau Pinang (RM3,313). 

Meskipun aliran purata gaji ini terus meningkat dari tahun ke tahun sejak 2011, namun kesan krisis kesihatan telah menyebabkan sektor ekonomi negara masih melalui fasa pemulihan. Apabila paras purata gaji masih tidak mencapai peningkatan menyamai paras purata gaji pada 2019 iaitu RM3,224.