Artikel

Isu Gaji Jadi Faktor Utama, 1.13 Juta Rakyat Malaysia Ke Singapura

Malaysia sejak awal tahun ini, telah mula mengatur langkah menggalakkan semula rakyat yang bekerja di luar negara untuk kembali berkhidmat pada sektor ekonomi negara. Bagaimanapun usaha ini kekal depani kekangan apabila isu penawaran gaji dilihat terus menjadi faktor utama cabaran.

Menurut TalentCorp pada sidang Geran Dana Kebolehpasaran Graduan Mynext, memaklumkan antara aturan yang sedang dilaksana negara adalah melalui Malaysia@Heart dan Program Kepulangan Pakar (REP). Di bawah REP sekitar lebih 6,000 rakyat Malaysia telah pulang semula ke negara. Namun angka ini masih rendah, susulan kadar penghijrahan rakyat ke luar negara kekal tinggi di paras 5.5%, iaitu lebihi 3.3% paras penghijrahan dunia. 

Malah setakat Mac lalu, TalentCorp memaklumkan terdapat sejumlah 1.86 juta rakyat Malaysia telah bertindak menetap di luar negara dan daripada jumlah tersebut, sekitar 1.13 juta rakyat telah migrasi ke Singapura. Angka ini sekaligus mencerminkan isu pelarasan gaji kekal menjadi faktor utama dalam pasaran pekerjaan negara. 

Susulan itu, untuk mengatasi isu sedemikian, melalui MyHeart negara akan terus tingkatkan hubungan baik bersama diaspora negara dan menyediakan peluang pekerjaan tempatan bersesuaian mengikut pasaran. 

Selain dua program tersebut, TalentCorp turut akan perkasakan MyNext iaitu mengekalkan tenaga berkemahiran tempatan dalam pasaran negara. Antaranya menyediakan geran RM2 juta kepada Universiti Awam (UA) untuk tingkatkan kebolehpasaran pelajar serta kesediaan pelajar dalam arena pekerjaan bagi tangani isu pengangguran dan ketidakpadanan kerjaya. 

Difahamkan setakat ini  UTM selaku UA pertama yang menerima geran terbabit dan akan diperluaskan kepada institusi pengajian lain secara berperingkat.