Artikel

Bayi Yang Lahir Pada 2023 – Dijangka Hidup Sehingga 74.8 Tahun

Berikutan penularan COVID-19 semakin memulih, ia secara langsung meningkatkan kualiti tahap kesihatan penduduk negara pada tahun ini apabila didapati purata jangka hayat di Malaysia bagi setiap kelahiran telah meningkat 1.0% kepada usia 74.8 tahun.

Peningkatan jangka hayat ketika kelahiran ini dilihat lebih baik berbanding tahun lalu dengan jangka hayat ketika lahir sekitar 73.4 tahun.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Statistik Jangkaan Hayat 2023 ini turut memperincikan bagi bayi lelaki, secara puratanya jangka hidup mereka sehingga 72.5 tahun dan diikuti bayi perempuan yang lahir 2023 dijangka hidup sehingga 77.4 tahun.

Manakala mengikut had umur terpilih pula, didapati lelaki yang berusia 15 tahun pada 2023 dijangka hidup selama 58.3 tahun lagi, diikuti perempuan pada usia yang sama pula dijangka hidup selama 63.1 tahun.

Sementara lelaki yang berusia 60 tahun pada 2023 pula dijangka hidup selama 18.3 tahun lagi dan wanita berusia 60 tahun pula dijangka hidup selama 21.1 tahun lagi.

Seterusnya jangka hayat mengikut negeri pula – Selangor terus mengungguli kedudukan dengan mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi 2021-2023, manakala Terengganu pula jadi negeri yang merekodkan jangka hayat lahir terendah dalam tempoh 2021-2023.

Dari kategori jangka hayat mengikut daerah pentadbiran pula – Petaling, Selangor mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir tertinggi sehingga 80.5 tahun bagi tahun ini. Manakala Kecil Lojing-Kelantan pula jadi daerah pentadbiran terendah yang miliki jangka hidup iaitu selama 62.8 tahun.