Artikel

Singapura, Lapangan Terbang Changi Bakal Bebas Pasport – Menjelang 2024

Singapura tidak lama lagi bakal menjadi antara negara terawal yang perkenalkan pelepasan imigresen automasi tanpa pasport. Di mana dengan hanya menggunakan data biometrik para penumpang boleh meninggalkan negara tersebut tanpa pasport.

Melalui penggunaan token pengesahan yang akan diwujudkan melalui sistem biometrik – para penumpang dimaklumkan boleh lepasi proses pemeriksaan sehingga menaiki pesawat tanpa perlu khuatir akan keperluan pasport mahupun tiket penerbangan.

Aturan yang dijangka bermula separuh pertama 2024 kelak, adalah hasil pindaan Rang Undang-Undang Imigresen yang telah diluluskan oleh Parlimen Singapura pada awal minggu ini.

Perubahan itu mengikut laporan BH Singapura akan memberi Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) akses meningkatkan lagi usaha pendigitalan mereka dalam kawalan sempadan.

Menerusi sokongan digital ini, Singapura melihat ia berupaya meningkatkan lagi kemudahan penumpang dan mengurangkan keperluan mereka untuk menunjukkan dokumen perjalanan ketika proses pemeriksaan dijalankan. Ini menjadikan fasa pemeriksaan lebih lancar dan teratur.