Indeks Harga Pengguna (IHP) yang menjadi pengukur kepada paras inflasi utama Malaysia, ketika ini menunjukkan prestasi inflasi di pasaran bagi Ogos 2023 kekal 2.0%. Bersama mata indeks mencatatkan 130.8 berbanding 128.2 mata sebelum ini.
Mengikut tinjauan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), walaupun paras inflasi ini kekal rendah 2.0% namun masih terdapat peningkatan berlaku dalam subinflasi pada beberapa kategori. Antaranya Restoran dan Hotel (4.7%), Makanan & Minuman bukan Alkohol (4.1%). Diikuti Pelbagai Barangan & Perkhidmatan dan Kesihatan pula naik sebanyak 2.4%.
Berdasarkan pengamatan menyeluruh dalam IHP ini, ternyata Makanan & Minuman bukan Alkohol telah menyumbang 29.5% daripada wajaran IHP. Sebagai perincian, kos Makanan Di Rumah naik 2.9% – ini didorong kesan kenaikan Daging meliputi semua jenis daging termasuklah ayam (5.8%), Beras-Roti-Bijirin-Susu dan Keju-Telur (4.0%).
Manakala kos Makanan Di Luar Rumah pula memperlihatkan sedikit reda kepada 5.9% berbanding Julai lalu (6.2%). Apa yang menarik, tinjauan DOSM dapati kos kenaikan makanan luar yang semakin mereda adalah Nasi Campur, Sate dan Nasi Ayam.
Sementara inflasi peringkat negeri pula, didapati 7 negeri menunjukkan peningkatan inflasi lebihi paras inflasi nasional dengan Sarawak (3.4%), Putrajaya (2.7%), Perlis (2.4%), Perak (2.3%), Selangor (2.3%), Pahang (2.2%) dan Melaka (2.1%).
Bagi perbandingan mengikut negara terpilih pula – inflasi Malaysia kekal lebih rendah berbanding filipina (5.3%), Korea (3.4%)0, Indonesia (3.3%) dan Vietnam (3.0%). Bagaimanapun paras inflasi negara lebih tinggi berbanding Thailand (0.9%) da China (0.1%).