Artikel

Sistem PADU Kini Siap 60%, Bakal Tersedia Seawal Januari 2024

Sistem yang membolehkan pelan subsidi bersasar dilaksanakan kelak iaitu Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), di maklumkan kini telah siap 60% – di mana bakal lalui ujian rintis mulai November 2023 dan tersedia untuk diguna seawal Januari 2024.

Pada peringkat awal, Kementerian Ekonomi akan laksana ujian terlebih dahulu yang dijadualkan pada bulan 11 ini, sebelum dipaparkan pada khalayak untuk tindakan pengesahan maklumat peribadi penduduk.

Buat masa ini, proses pembangunan sistem tersebut yang melibatkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah di Malaysia, dipantau selari dengan garis masa yang ditetapkan.

Untuk makluman, melalui PADU perincian data penduduk tidak hanya tertakluk kepada kelas pendapatan tetapi merangkumi aspek jumlah tanggungan, jenis pekerjaan, pemilikan aset, jarak ke lokasi pekerjaan serta komitmen yang dipikul. Pengelasan ini sekaligus membantu negara lebih memahami kumpulan penduduk yang selayaknya menerima bantuan tanpa mengikut tahap pendapatan mereka semata-mata.

Selain ketersediaan sistem ini, mulai 2024 juga kerajaan akan membentangkan rang undang-undang omnibus untuk benarkan perkongsian data antara kementerian dan agensi dilaksanakan. Menerusi langkah itu, ia akan memudahkan pentadbiran tanpa perlu meminda setiap akta yang memberi kuasa kepada kementerian atau agensi.