Artikel

Belanjawan 2024 : CUEPACS Usul Gaji Penjawat Awam Naik RM300, Raih 30% Diskaun Bayar Cukai Pendapatan

Menjelang 13 Oktober ini, seluruh pihak akan menyaksikan pembentangan Belanjawan 2024 berlangsung di negara – bagi memperlihatkan agenda hala tuju peruntukan kewangan untuk tahun hadapan.

Mengambil peluang itu, CUEPACS – Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam telah laksana usul dengan memohon pentadbiran negara menaikkan gaji penjawat awam sekitar RM300 bersama perolehan bonus minimum sebulan setengah kepada para penjawat awam.

Permohonan ini dilihat seiring dengan tekanan kos semasa, tatkala kumpulan ini menanti kemas-kini baharu Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang bakal dilaksanakan pada 2025 kelak.

Tidak hanya itu, usul lain yang turut dimohon CUEPACS adalah membolehkan penjawat awam meraih perolehan diskaun 30% bagi pembayaran cukai pendapatan serta meningkatkan jumlah pengiraan pencen kepada jumlah tahun perkhidmatan sehingga 35 tahun. Ia bertujuan memaksimumkan pencen yang bakal diterima oleh kumpulan tersebut.

Buat pengetahuan umum, ketika ini pengiraan pencen penjawat awam adalah terhad kepada 360 bulan sahaja iaitu 30 tahun dalam tempoh perkhidmatan.