Artikel

80,000 Isi Rumah Terima Manfaat, Skim Perubatan Madani Kini Diperluas Seluruh Malaysia – KKM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan insiatif perkhidmatan kesihatan percuma melalui Skim Perubatan Madani kini diperluaskan ke seluruh Malaysia – bermula 15 September lalu. Perluasan skim ini secara langsung akan meningkatkan lagi akses 80,000 isi rumah B40 dalam sektor kesihatan negara. 

Jelas KKM pada sidang Parlimen, setakat ini lebih 1,300 klinik swasta telah mendaftar dan bekerjasama dalam program skim. Buat pengetahuan umum, dalam sehari sekitar 4,000 rawatan dilaksanakan menerusi inisiatif skim terbabit.

Menerusi perluasan tersebut,  KKM turut mengalukan penyertaan klinik perubatan swasta yang lain untuk mendaftar selaku klinik panel SPM. Melalui kebersamaan ini, ia akan meningkatkan lagi kemudahan buat rakyat Malaysia. 

Berlandaskan perluasan itu beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan antaranya peningkatan had fi konsultasi daripada RM30 kepada RM35, diikuti peningkatan fi termasuk ubat kepada RM70 dan penambahan bilangan jenis ubat yang disenaraikan kepada 170 jenis turut dilaksanakan. 

Susulan pemerkasaan itu, para penerima STR disarankan untuk menyemak kelayak dan ketahui panel klinik SPM yang berdekatan melalui pautan ProtectHealth ini untuk perolehi manfaat akses tersebut.