Hampir semua sekolah di seluruh negara dimaklumkan berdepan kekurangan tenaga pengajar dengan anggaran kekurangan lebih 20,000 guru. Persekitaran ini menurut Kesatuan Perkhidmatan Penguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) didorong kesan persaraan guru lama.
Mengikut data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sejak dua tahun lalu, ramai guru Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris telah memohon bersara awal. Tindakan ini turut berlaku kalangan kategori guru Matematik, Pendidikan Islam, Sains dan Sejarah. Secara menyeluruh seramai 6,890 guru terlibat pada permohonan ini.
Maka untuk memastikan isu kekurangan ini tidak menjejaskan proses pengajaran dan pembelanjaran (PdP) di sektor pendidikan, KPM disarankan untuk laksana semula pengambilan guru khas bersama sokongan Kementerian Kewangan (MOF) – sepertimana yang dilaksanakan sebelum ini, dengan pengambilan 19,000 guru baharu.
Langkah ini tidak sekadar membantu pendidikan negara tetapi turut mengurangkan bebanan tugasan guru sedia ada yang mulai bertambah kesan ketirisan tenaga pengajar yang wujud.
Selain keperluan tambahan guru, NUTP turut mengusulkan pewartaan waktu bekerja harian buat guru di Malaysia. Ia kerana setakat ini tiada pewartaan waktu bekerjan dilaksanakan ke atas guru sebaliknya hanyalah 45 jam bekerja untuk tempoh dalam seminggu. Melalui pertimbangan tersebut, ini akan membantu guru mengimbangi bebanan tugas mereka mengikut piawaian waktu bertugas yang lebih fleksibel.
Secara menyeluruh, sektor pendidikan negara kini memiliki sekitar 418,000 guru di seluruh Malaysia dan jumlah ini ditempatkan di 10,225 buah sekolah libatkan peringkat rendah dan menengah.