Masih ramai pihak yang terus menjadi pengelak cukai di negara apabila terdapat sejumlah yang tinggi perniagaan milikan tunggal atau persendirian didapati tidak melunaskan pembayaran cukai mereka di Malaysia.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Penang menjelaskan, perniagaan milikan tunggal di negeri tersebut memiliki kadar ketidakpatuhan tertinggi dan akaun mereka didapati tidak teratur berbanding perniagaan lain.
Berikutan keadaan itu, LHDN bakal memberi fokus kepada kumpulan berkaitan melalui pendekatan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0. Usaha memberi pendedahan berterusan ini dijangka mampu meningkatkan tahap pematuhan percukaian di Pulau Pinang.
Buat pengetahuan, hakikatnya Pulau Pinang adalah negeri kedua tertinggi yang meraih kutipan cukai pada tahun lalu selepas Sarawak – tetapi kekal berdepan masalah yang sama dalam kategori pengelak cukai ini.
Berdasarkan kutipan menyeluruh, LHDN menyasarkan kutipan lebih RM7 bilion pada tahun ini dapat dicapai susulan Ogos lalu Pulau Pinang berjaya menyumbang 4.78% daripada jumlah kutipan buat negara.