Perolehan sijil pengesahan halal Malaysia dalam industri negara menunjukkan peningkatan apabila sekitar 8,272 syarikat telah meraihnya. Lebih membrangsangkan lebih 80% daripada jumlah tersebut (7,306 syarikat) adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di pasaran negara.
Menurut penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada sidang Parlimen hari ini – daripada jumlah keseluruhan itu, sekitar 3,270 syarikat (39.53%) adalah merupakan pemegang sijil halal oleh syarikat Bumiputera.
Menyedari jumlah itu masih kecil, negara akan memperkasakan usaha latihan dan bimbingan industri untuk pastikan pemain berkaitan bersedia memohon sijil pengesahan halal Malaysia. Langkah itu akan dipacu bersama program di bawah Perbadanan Pembangunan Halal (HDC).
Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut akan tambah-baik tatatkelola dalam industri PKS dengan laksana kerjasama bimbingan bersama agensi kementerian pada aspek piawaian dan prosedur pensijilan halal. Usaha ini bakal memudahkan pengusaha fahami tatacara permohonan halal yang lebih terperinci.
Sementara berhubung akta kawalan seliaan industri halal pula, negara tiada perancangan untuk mewujudkan akta khusus baharu berikutan penggunaan undang-undang semasa seperti Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan Perintal Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 masih memenuhi keperluan semasa.