Senada dengan agenda strategik, cabang digital Capital A kini mengumumkan penjenamaan semula segmen airasia Digital kepada MOVE Digital (MOVE) berkuat kuasa hari ini, 18 September.
Pengumuman yang dilaksanakan pada sidang media hari ini adalah sebahagian daripada usaha transformasi Capital A untuk perkasakan pertumbuhan operasi mereka di samping memulihkan status PN17 yang didepani operasi pada ketika ini.
Melalui MOVE menurut Tony Fernandes yang akan bertindak selaku Pengerusi Eksekutif MOVE – ini akan perlihatkan penyegaran semula dalam operasi airasia Superapp dan BigPay. Di mana kelak airasia Superapp bakal dijenamakan sebagai airasia MOVE dalam tempoh terdekat yang dijangka berlaku pada Disember 2023 ini.
Kedua-dua perniagaan digital Capital A ini berdasarkan prestasi telah memaparkan beberapa kemajuan ketara dengan airasia Superapp catat rekod tertinggi pengguna aktif bulanan seramai 15 juta individu pada akhir suku kedua – manakala BigPay pula menyaksikan pengguna kadnya berkembang sebanyak 16% secara tahunan untuk tempoh yang sama.
Sebagai penjelasan ringkas MOVE Digital Sdn Bhd adalah cabang digital Capital A Berhad, yang merangkumi fokus dua perniagaan airasia Superapp (kelak airasia MOVE) dan BigPay.
Jelas Tony, peralihan ini bertujuan untuk merevolusikan sektor pelancongan dan perkhidmatan kewangan Capital A bagi menawarkan penyelesaian yang lebih inovatif kepada pengguna pada nilai terbaik secara berperingkat.