Isu pemerdagangan manusia sememangnya suatu perkara yang cukup kritikal di persada antarabangsa. Selari dengan matlamat global untuk membasmi permasalahan ini, Malaysia diperhatikan berjaya meningkatkan kedudukan negara untuk menangani penindasan dalam aktiviti pemerdagangan. Setakat ini Amerika Syarikat (AS) meletakkan Malaysia di Tahap 2 (Pemerhatian) bagi Jun 2023, prestasi itu lebih baik berbanding tahun lalu pada Tahap 3.
Pada kategori itu, didapati sekitar 26 buah negara telah disenaraikan. Ini termasuklah negara Asia seperti Brunei dan Vietnam.

Namun usaha ini masih dilihat miliki jurang yang ketara berbanding negara serantau yang lain. Apabila Indonesia dan Thailand di Tahap 2, diikuti Singapura dan Filipina di Tahap 1 – yang mencermin usaha mereka menangani isu penindasan pemerdagangan manusia ini lebih baik berbanding Malaysia.
Secara menyeluruh kedudukan Malaysia masih tidak memenuhi sepenuhnya piawaian minimum AS dalam memerangki isu pemerdagangan manusia. Susulan itu, pentadbiran negara terus optimis untuk keluar daripada kelompok tersebut dan akan menambahbaik infrastruktur ekonomi negara secara berperingkat.
Malah sekiranya tidak dibendung, kedudukan pada Laporan Pemerdagangan Manusia 2023 di bawah data Jabatan Negara AS ini berpotensi memberi kesan kepada Malaysia berhubung keyakinan dalam perdagangan terutamanya – melibatkan akses pelaburan di pasaran antarabangsa. Ini kerana kualiti dan jaminan kebajikan tenaga kerja sering dijadikan penanda aras untuk meningkatkan kualiti ekonomi negara dalam pasaran.
