Bagi tempoh 6 bulan pertama tahun 2023, rekod jumlah kediaman yag siap dibina namun tidak terjual menunjukkan penurunan kepada 28,286 unit dengan nilai RM18.3 bilion di pasaran Malaysia. Akan tetapi berdasarkan unit yang tidak terjual itu – ternyata hartanah kediaman bernilai RM500,000 hingga RM1 juta menjadi unit yang paling banyak tidak terjual dengan 32.5%.
Data di bawah laporan Pasaran Hartanah Separuh Pertama 2023, Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) ini jelas memaparkan angka itu paling tertinggi diikuti unit kediaman harga bawah RM300,000 (26.8%), RM300k hingga RM500k (25.4%) dan RM1 juta ke atas (15.4%).
Lebih terperinci, hampir 58% daripada unit kediaman yang siap adalah kategori hartanah kondominium dan pangsapuri. Didapati pada kategori ini, separuh daripada unit tersebut melibatkan kos lebih RM500,000 seunit.
Sementara mengikut negeri pula, Johor kekal jadi negeri yang mencatatkan jumlah unit kediaman siap tidak terjual (4,717 unit) disusuli Selangor (4,307 unit). Kedua negeri merekodkan nilai tidak terjual itu lebih RM4 bilion.
Melihat permasalahan itu, Kementerian Kewangan (MOF) akan meneliti laporan ini dan dibawa ke semakan Belanjawan 2024 kelak untuk mendasari pelbagai inisiatif menangani isu unit tidak terjual di pasaran kediaman. Meskipun masih terdapat jumlah unit yang tinggi, angka ini dilihat semakin berkurangan berbanding data separuh pertama sebelum ini.