Walaupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menjelaskan tempoh proses permohonan sijil halal mengambil masa sekitar 30 hari sahaja namun masih terdapat aduan mengatakan sebaliknya berlaku – ada pihak terpaksa menunggu sehingga 9 bulan- 2 tahun lamanya.
Menyedari berlakunya ketirisan itu, Ahmad Zahid Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Pembangunan Halal Malaysia meletakkan saranan agar tempoh sedia kala iaitu dalam 30 hari bekerja keputusan permohonan sijil halal wajib diberikan kepada para pengusaha.
Isu ini perlu ditambahbaik bagi memastikan tiada penindasan berlaku ke atas permohonan yang telah dilaksanakan lebih awal. Manakala berhubung pembaharuan pensijilan halal pula, pihaknya mahukan bengkel pensijilan halal dilaksanakan 3 kali setahun untuk meningkatkan lagi kecekapan pengeluaran sijil halal negara. Ketika ini terdapat pelbagai pihak turut terlibat dalam menyokong inisiatif tersebut meliputi Giatmara, pemain TVET, dan UniKL.
Malah syarikat besar serta multinasional (MNC) kini turut disarankan mengambil juruaudit halal bagi memiliki pihak yang bertanggungjawab dalam menentukan piawaian dan tatacara halal pada operasi mereka.
Aturan itu difahamkan akan disegerakan melibatkan kerjasama di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Halal Development Corporation Berhad (HDC), JAKIM, Jabatan Standard Malaysia (JSM) dan MARA.