Selari dengan pemerkasaan pasaran halal di peringkat serantau, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023 pada edisi ke-19 tahun ini optimis menyasarkan negara berupaya meraih peningkatan dalam jualan dengan sasaran RM2.5 billion.
Anjuran bermula 12 September sehingga 15 September ini melihat potensi yang ketara dapat dicapai pada jualan tahun ini berbanding edisi lalu. Berdasarkan rekod jualan tahun lalu MIHAS berjaya mencapai sekitar RM2.39 billion melebihi sasaran awal sekitar RM1.9 bilion.
Maka sasaran perolehan RM2.5 bilion jualan ini dilihat konsisten dengan prestasi negara yang semakin mengukuh dalam pasaran halal antarabangsa. Buat pengetahuan umum, pentadbiran ketika ini menyasarkan Malaysia terus menjadi peneraju dalam pasaran halal antarabangsa dengan menyumbang aliran eksport halal sebanyak RM63.1 bilion pada tahun 2025 kelak.
Secara menyeluruh melalui pemerkasaan berterusan negara dalam agenda halal serantau seperti MIHAS 2023, ini akan menyokong negara meluaskan pelbagai jenama halal tempatan ke persada antarabangsa. Pada pameran ini terdapat 13 kluster tersedia buat tatapan pelabur, pemain industri dan pengunjung – merangkumi pasaran makanan, teknologi, pendidikan, perubatan, peruncitan, pelancongan, teknologi kewangan serta pelbagai lagi.
Difahamkan turut sama sertai MIHAS 2023 melibatkan 34 agensi kerajaan bersama hampir 1,900 gerai pameran dari 44 buah negara dalam penyertaan pasaran halal edisi kali ini.