Artikel

1,000 Bas Rapid Disasar Beroperasi Setiap Hari Di Lembah Klang, Mulai Akhir 2023 Ini – MOT

Ketika ini terdapat 724 bas Rapid Bus beroperasi di Lembah Klang pada setiap hari untuk penuhi permintaan pengguna. Jumlah ini menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) adalah lebih kecil dibandingkan dengan keperluannya yang dianggar hampir 4,000 bas untuk pastikan perkhidmatan pengangkutan bas negara lebih efisien. 

Menyedari permasalahan itu, Rapid Bus menyasarkan penambahan jumlah bas dapat dilaksanakan kelak dengan sasaran 1,000 bas bakal dapat beroperasi setiap hari menjelang akhir 2023 ini. 

Berdasarkan proses penyelenggaraan, sekitar 150 buah bas RapidKL sedang dibaikpulih dan terdapat penambahan operator bas baharu akan dilaksanakan. 

Selain tingkatkan kapasiti perkhidmatan, MOT melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) turut akan menyelaras laluan perkhidmatan bas di Lembah Klang, Langkah ini bagi memudahkan proses integrasi dapat dilaksanakan segera. 

Seperti yang umum ketahui, terdapat 3 operator berlainan mengendalikan perkhidmatan bas di Lembah Klang ianya Rapid Bus, bas percuma GoKL oleh DBKL dan bas Smart Selangor oleh kerajaan Selangor.

Maka keperluan menyelaraskan laluan ketiga bas ini secara langsung akan meningkatkan lagi kecekapan perkhidmatan dan mengalakkan pengguna pada penggunaan khidmat awam.