Artikel

Apple Ke Arah Jadikan Seluruh Perniagaan, Produknya Neutral Karbon – Menjelang 2030

Dalam tempoh 7 tahun lagi, semua produk Apple dijamin akan sepenuhnya neutral karbon, disokong tenaga lebih lestari bersama penerapan bahan kitar semula. 

Buat pengetahuan umum, usaha ini telah dizahirkan sejak 2015 lagi dan diteruskan bersama dengan lebih 300 pembekal globalnya untuk merealisasikan matlamat tersebut. 

Setakat 2022, sekitar 13.7gw tenaga boleh diperbaharui telahpun diterapkan Apple bersama pembekalnya yang sekaligus menghindari berlakunya pelepasan 17.4 juta tan metrik karbon di pasaran. Jumlah ini untuk makluman bersamaan dengan hampir 3.8 juta kereta di jalan raya. Maka dengan usaha positif itu, agenda hijau Apple diperhatikan telah meningkat 30% berbanding tahun 2021. Malah Apple juga turut menggandakan lagi jejak hijaunya menerusi sokongan pembiayaan dalam penyelesaian tenaga bersih melalui Bon Hijau yang bernilai $4.7 bilion.

Menerusi usaha berterusan ini, Apple optimis operasinya kekal konsisten dalam mencapai sasaran kelestarian 2030. Berdasarkan perkongsian Apple pada pelancaran peranti pintarnya pada pagi ini, ia memperlihatkan Apple Watch Series 9 sebagai produk pintar pertamanya sebagai item neutral karbon.