Artikel

Nilai Import Makanan Malaysia Terus Tinggi – Catat RM75.6 Bilion Bagi 2022

Tahap kebergantungan Malaysia pada makanan import ternyata kekal tinggi, apabila didapati dalam tempoh 5 tahun meliputi 2018-2022 sebanyak RM296.4 bilion nilai import makanan dicatatkan negara. 

Angka ini lebih tinggi, naik 31.8% berbanding rekod 5 tahun sebelumnya iaitu 2013-2017 yang sekadar mencatatkan nilai import makanan berjumlah RM224.9 bilion. 

Sebagai perincian, untuk tahun 2022 sahaja sejumlah RM75.6 bilion nilai import makanan dicatatkan negara berasaskan tinjauan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Akaun Pembekalan dan Penggunaan Komoditi Pertanian Terpilih 2018-2022

Jumlah sedemikian lebih tinggi berbanding nilai eksport makanan negara yang hanya sekitar RM44.6 billion bagi tahun 2022. 

Persekitaran ini menurut DOSM didorong hasil peningkatan defisit perdagangan produk makanan yang berjumlah RM31.0  bilion iaitu 24.3% lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. Berdasarkan penjelasan lanjut, terdapat 8 produk makanan pertanian mencatatkan kadar kebergantungan import (IDR) yang tinggi lebihi 50%, ianya adalah;

  • Bawang Besar (100%)
  • Bawang Kecil (100%)
  • Bawang Putih (100%)
  • Epal (100%)
  • Daging Kambing/Bebiri (91.5%)
  • Daging Lembu/Kerbau (85.6%)
  • Halia (85.6%)
  • Mangga (79.7%) 
  • Cili (74%)
  • Sotong (70.6%)
  • Susu Segar (63.6%)
  • Kobis Bulat (55.5%)

Malah DOSM turut memperincikan, tindakan negara untuk kekal mengimport porduk pertanian seperti bawang besar, bawang kecil, bawang putih dan epal – adalah ekoran ketidaksesuaian iklim yang mendorong Malaysia untuk terus mengimport produk sedemikian, bagi memenuhi permintaan domestik. 

Sementara berhubung jumlah penggunaan per kapita (PCC) pula – bagi segmen makanan ruji, beras menjadi pilihan asasi negara PCC sebanyak 77 kilogram, diikuti buah-buahan pula adalah kelapa dengan PCC sebanyak 24.2 kilogram, disusuli durian 12.4kg dan nanas 12.2kg. 

Manakala PCC sayur-sayuran tertinggi pula adalah kobis bulat dengan 7.6kg setahun di mana berlakunya peningkatan 1.0kg berbanding tahun 2021 dan bahagian daging, PCC daging ayam mencatatkan penggunaan tertinggi dalam kalangan pengguna sebnayak 48.0kg setahun. 

Secara menyeluruh, jelas nilai kebergantungan produk import makanan negara terus  tertumpu kepada keperluan komoditi produk pertanian.