Tidak lama lagi satu sistem yang mengumpulkan data keseluruhan melibatkan Rumah Mampu Milik (RMM) akan tersedia untuk membantu pentadbiran negara melaksanakan saringan kelayakan pembeli berasaskan maklumat pemilikan rumah bersama agensi pihak swasta dan kerajaan negeri.
Langkah itu sekaligus membantu Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengetahui permintaan RMM dengan menyediakan pembekalan unit rumah yang mencukupi. Ini kerana tindakan setengah pihak memiliki lebih daripada sebuah RMM telah mengakibatkan berlakunya keciciran kelayakan kepada pengguna yang lain.
Selari dengan pembangunan sistem itu, kerajaan kelak akan mengehadkan pembelian hanya satu RMM sahaja bagi setiap warganegara yang layak.
Selain fokus itu kajian menyeluruh melibatkan kawalan bekalan RMM dalam pasaran sekunder juga akan diteliti. Aturan itu akan membantu semua pihak yang layak meraih akses yang sama dalam perolehan perumahan.