Artikel

Temu Kini Memasuki Pasaran e-Dagang Malaysia – Beri Saingan Pada Shopee, Lazada & TikTok Shop

Setelah memasuki pasaran Filipina, Temu – e-dagang yang berpangkalan di Shanghai, China kini meluaskan lagi jejak perkhidmatan ke pasaran Malaysia. Kemasukan Temu sekaligus merancakkan lagi permintaan pembelian atas talian dalam kalangan pengguna tempatan dan Asia Tenggara bersama jenama lain seperti Shopee, Lazada dan TikTok Shop. 

Pada kemasukan Temu yang juga anak syarikat Pinduoduo ini, pengguna negara akan dapat nikmati pelbagai tawaran produk jualan merangkumi barangan kediaman, elektronik, fesyen, sukan, makanan, serta kesihatan pada nilai yang berpatutan. Lebih menarik didapati kos penghantaran meliputi hampir semua kategori turut disajikan dengan tawaran penghantaran standard secara percuma.

Berdasarkan akses pembayaran pula, Temu memudahkan pengguna awam dengan memboleh penggunaan pelbagai medium pembayaran menerusi kad debit, kad kredit, FPX atau perbankan atas talian serta Apple Pay, Google Pay. 

Malah pengguna juga turut memiliki pilihan menggunakan Touch ‘n Go eWallet selaku medium pembayaran dompet digital mereka. Tidak hanya itu, pengumpulan mata menerusi Temu Credits sepertimana yang turut disertakan dalam Shopee Coins atau LazCoins (Lazada) juga dilaksanakan dalam e-dagang Temu. Ini membolehkan pengguna menebus harga pembelian pada nilai yang lebih rendah. 

Adanya kemasukan Temu pada pasaran e-dagang Malaysia ini, ia akan terus melonjakkan lagi aliran perbelanjaan kalangan pengguna negara. Bagi 3 bulan pertama 2023, prestasi arena e-dagang Malaysia telah meningkat 10.4% kepada RM291.7 bilion. Selain Malaysia dan Filipina selaku pasaran Asia Tenggara, Temu kini turut tersedia di AS, Jepun, Korea Selatan, Australia, dan New Zealand. 

Maka sebarang makluman lanjut, semua pengguna boleh layari platform e-dagang Temu dan ketahui perincian lanjut pada pautan maklum-balas Temu.