Artikel

Malaysia Sasar Duduki 25 Negara Teratas, Perbaiki Imej Persepsi Rasuah – Di Peringkat Global

Dalam usaha memulihkan imej Malaysia pada peringkat antarabangsa dan tempatan, negara memaklumkan Akta Tatakelola Sektor Awam dan Pelan Integriti akan diperkenalkan kelak selaku panduan tatakelola bebas rasuah kepada semua entiti di negara. 

Keadaan ini sekaligus turut memacu sasaran Malaysia untuk meraih kedudukan ke-25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah sedunia dalam tempoh 10 tahun. 

Menurut makluman yang dikongsikan pada sidang Kajian Separuh Penggal RMK12 ini, langkah itu akan membantu negara memperkukuhkan matlamat selaku pihak antirasuah. 

Buat pengetahuan umum, setakat 2022 – Malaysia telah berada di kedudukan ke-61. Di mana negara mulai menunjukkan prestasi yang positif untuk membanteras gejala rasuah dengan meraih skor 47 daripada 100 mata.

Perolehan mata itu bagaimanapun memaparkan persepsi rasuah di Malaysia kekal tinggi dan tahap integriti masih rendah. Ini kerana susulan isu Malaysia terpalit dalam kes rasuah berprofil tinggi – seperti 1MDB, SRC International dan beberapa isu berbangkit lain.

Selain Malaysia, negara serantau lain pula masih dikedudukan yang tinggi dalam persepsi rasuah antaranya Indonesia (110), Vietnam (77), Thailand (101).