Meskipun jurang Indeks Gender Malaysia (MGGI) masih memperlihatkan jurang yang besar dalam segmen ekonomi, namun pentadbiran negara kekal optimis untuk mencapai matlamat memperkasakan 60% penyertaan wanita dalam ekonomi Malaysia dalam tempoh 10 tahun.
Di bawah inisiatif ketersediaan bakat masa hadapan ini, ia meliputi usaha penyertaan pekerja baharu dan mengalakkan kemasukan semula pekerja wanita dalam sektor ekonomi. Antara garapan yang diteliti dan akan diperluaskan iaitu kemudahan penjagaan anak, insentif kewangan dan waktu bekerja fleksibel.
Selain itu peranan wanita dalam ekonomi ihsan (care economy) juga turut akan diiktiraf sebagai langkah meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran tenaga kerja. Melalui usaha ini ia secara langsung membantu Malaysia mengurangkan kesan penyusutan guna tenaga dan isu penuaan masyarakat yang dijangka berupaya memberi impak pada arena ekonomi negara.
Setakat 2022, didapati tenaga kerja lelaki terus dominasi penyertaan ekonomi negara dengan 80.9%, sementara wanita pula hanya terlibat sekitar 55.5%. Situasi ini secara langsung bercanggah dengan peratusan di peringkat pendidikan, yang memperlihatkan wanita mendahului lelaki bagi tahap pendidikan rendah 98.4%, menengah 94.5% dan peringkat tertiari 47.5%.