Selari dengan matlamat negara untuk mencapai gagasan menuju ke arah negara berpendapatan tinggi, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan Malaysia perlu sekurang-kurang meraih 5% lonjakan pertumbuhan ekonomi setahun dalam tempoh sehingga 2025 kelak.
Makluman ini menurut PM Anwar pada pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK12 yang dilaksanakan pada sidang Dewan Rakyat hari ini mengambil kira aspek sokongan dalam produktiviti tenaga negara, penerapan teknologi dan usaha negara menghasilkan lebih ramai bakat berkemahiran tinggi seiring dengan penawaran pekerjaan tahap tersebut.
Berlandaskan perancangan itu, kerajaan menjangkakan produktiviti buruh negara bakal alami lonjakan dengan pertumbuhan 3.8% setahun, sementara produktiviti pelbagai faktor (MFP) disasar akan membantu negara – menyumbang kepada pertumbuhan sekitat 42.8%.
Selain itu, pemerkasaan kemasukan kumpulan pelabur ke Malaysia juga akan membantu negara mempercepatkan lagi perolehan status negara berpendapatan tinggi. Untuk langkah itu, Malaysia menyasarkan pelaburan swasta berpotensi berkembang sebanyak 6.4% setahun atau purata RM300 bilion setahun.
Malah negara juga akan bertindak mengfokuskan penerapan ekonomi dalam industri bernilai tinggi. Setakat ini antara usaha yang sedang dilaksanakan seperti industri berasaskan peralihan tenaga, kenderaan elektrik (EV) serta dalam usaha jadikan Malaysia selaku hab pasaran gas asli serantau.