Artikel

Lebih 2.95 Juta Penduduk Malaysia Selesa Bekerja Sendiri – DOSM

Bilangan penduduk bekerja di negara pada pasaran tenaga semasa, kini secara berterusan memaparkan peningkatan – apabila alami pertambahan 27,200 pekerja kepada 16.34 juta individu bekerja untuk Julai 2023

Persekitaran ini mengikut tinjauan Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) susulan kemampuan ekonomi negara dalam mewujudkan penawaran pekerjaan yang lebih membrangsangkan telah meningkat sebanyak 0.1% kepada 67.7%. 

Lebih menarik berlandaskan perincian data ini, ternyata kategori pekerja dalam bahagian Bekerja Sendiri dilihat semakin meningkat dengan pertambahan 10,400 individu kepada 2.96 juta pekerja di Malaysia. Kategori ini menjelaskan kebanyakkannya terdiri daripada golongan berpendapatan harian yang bekerja selakupengusaha perniagaan kecil seperti peruncit, penajaj dan penjual di pasar dan gerai termasuklah pihak yang terlibat selaku pekebun kecil. 

Manakala bagi kategori lain pula, seramai 12.31 juta individu berstatus pekerja (bekerja di bawah sesebuah organisasi), diikuti 491,600 individu pula adalah kumpulan pekerja keluarga tanpa gaji dan 570,900 berstatus majikan. 

Berdasarkan taburan penduduk bekerja dalam sektor ekonomi pula,  didapati sektor Perkhidmatan terus kekal selaku segmen yang mendorong peningkatan penduduk dalam penyertaan ekonomi negara. Antaranya meliputi pekerjaan dalam segmen Makanan dan Minuman, Perdagangan Borong dan Runcit serta Pendidikan.

Diikuti pertambahan penduduk bekerja dalam sektor Pembinaan dan Perlombongan dan Pengkuarian. Sementara penyertaan pekerja dalam sektor Pembuatan dan Pertanian pula sedikit menurun.