Kenaikan kos baja dan bahan kimia pada pasaran semasa, ternyata telah memberi kesan ke atas kumpulan petani. Melihat pada kesukaran itu, untuk memastikan petani di Malaysia dapat melandaikan lonjakan kos ini – maka Mimos Berhad kini telah tampil dengan inisiatif kerjasama penyelesaian pertanian pintar menggunakan akses kecerdasan buatan bersama firma Jerman HELM AG dan Ancom Nylex.
Di bawah penyelesaian platform SKYFLD ini, para petani boleh memetakan ladang mereka dan memantau kesihatan tanaman menggunakan data satelit. Aturan ini menurut Mimos, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) – dijangka turut berupaya tingkatkan hasil ppetani melalui sokongan rawatan baja dan tanaman.
Lebih menarik, petani juga boleh memantau prestasi biojisim dan kenalpasti zon kritikal yang terdapat pada ladang mereka untuk menangani risiko kerugian dan ketirisan hasil.
Maka untuk peringkat awal, ketiga pihak akan melancarkan fasa perintis tempatan berdasarkan lokaliti terpilih mengikut kategori tanaman dan wilayah. Keputusan fasa pertama itu dimaklum akan disemak mulai suku pertama 2024 kelak.