Artikel

India Dilaporkan Cadang Menukar Nama Negara – Kepada Bharat

India ketika ini dimaklumkan dalam usaha untuk menukar nama negaranya dari India kepada Bharat – mengikut laporan usul tersebut akan diteliti dalam sebuah sidang khas parlimen yang dijadualkan berlangsung pada 18 hingga 22 September kelak. 

Tindakan usul ini turut diperkukuhkan susulan berlakunya isu perubahan gelaran pada jemputan rasmi melibatkan makan malam bersama wakil pemimpin sidang G20 kelak. Di mana pada jemputan rasmi itu, pihaknya tidak menamakan Droupadi Murmu selaku Presiden India, sebaliknya sebagai Presiden Bharat.

Ia sekaligus menguatkan lagi spekulasi bahawa terdapatnya langkah sedang dilakukan pentadbiran untuk mengubah nama negara ini. Buat pengetahuan umum, sememangnya dalam perlembagaan, Bharat adalah nama rasmi negara mereka dalam Sanskrit, ia digunakan sebelum era penjajahan. Penggunaan nama ini secara langsung menafsirkan Bharat sebagai terjemahan asli kepada India sebelum ini. Maka tidak hairanlah mengapa tercetusnya tuntutan sebegini dan untuk makluman ini bukanlah kali pertama ia dibangkitkan dalam pentadbiran India. 

Melihat pada isu itu, tuntutan tersebut secara langsung akan memberi kesan yang besar kepada arena politik–ekonomi domestik mereka bahkan ke atas sentimen perdagangan global. Oleh itu, sama-sama kita nantikan perkembangan selanjutnya berhubung usul ini yang dijangka diteliti pada pertengahan bulan September kelak.